MYREN-X

Mengapa ianya dilancar nama MYREN-X

Pada tahun 2014 KPT (pada masa itu KPM) menubuhkan Jawatankuasa Kerja Penyediaan Infrastruktur Rangkaian (JKKPIR) untuk mengkaji keberkesanan MYREN dan mengesyorkan halatuju rangkaian ini selaras dengan aspirasi yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi).

Rumusan penemuan kajian JKKPIR mengenai perkhidmatan MYREN ialah:

1. Kelajuan maksimum hanya 1 Gbps untuk sambungan ke seluruh dunia (melalui TEIN) berbanding dengan 2.5 hingga 10 Gbps oleh negara-negara Asia yang maju dalam bidang penyelidikan dan pendidikan:

 

 

2. Kelajuan maksimum hanya 2 Gbps untuk kebanyakan universiti-universiti penyelidikan, yang mana ini akan dikongsi pula diantara pensyarah, pelajar dan makmal-makmal pendidikan dan penyelidikan di dalam universiti.

 

 

3. Kelajuan purata jalur lebar bagi setiap pelajar untuk pelajar-pelajar institusi pendidikan tinggi negara adalah hanya 0.05 Mbps atau 5 Kbps (julat: antara 0.01 hingga 0.19 Mbps)

 

 

4. Kelajuan purata ini lebih rendah daripada kelajuan yang boleh dicapai dengan perkhidmatan jalur lebar yang biasanya dicapai di rumah-rumah kediaman atau melalui pengendali perkhidmatan telefon mudah alih. Rangkaian penyelidikan dan pendidikan perlu ada infrastruktur berasingan daripada infrastruktur Internet awam kerana permintaan dan cara penggunaannya yang unik. Penggunaan untuk pengajaran dan pembelajaran oleh pensyarah dan pelajar memerlukan kapasiti yang besar dalam jangka masa yang panjang; sedangkan penggunaan untuk penyelidikan memerlukan kapasiti stabil yang amat besar dalam tempoh yang singkat tetapi jadual penggunaannya tidak menentu atau secara ad-hoc.

 

5. Tidak semua kampus disambungkan. MYREN hanya ke kampus-kampus utama atau makmal-makmal tertentu sahaja, yang mana ini menghadkan akses kepada sumber-sumber bernilai seperti peralatan kajian dan komputer berkapasiti tinggi. Selain daripada itu, peluang untuk membuat pengajaran dan pembelajaran jarak jauh atau secara maya (“distance/remote learning or virtual lecture”) juga terhad kerana tidak dapat berkongsi pensyarah dan sumber-sumber rujukan lain atau tidak berpeluang untuk mengadakan kajian secara kerjasama maya (“virtual collaboration”).

 

Apakan halatuju MYREN-X

Memberikan kelajuan sambungan sehingga 100 Gbps ke gerbang-gerbang antarabangsa melalui Asi@Connect untuk universiti-universiti penyelidikan agar setanding dengan negara-negara lain.

Memberikan kelajuan sambungan sehingga 100 Gbps antara universiti-universiti penyelidikan tempatan sebagai pemudahcara dan pemangkin lebih banyak penyelidikan kolaboratif.

Menyediakan kemudahan-kemudahan khusus seperti platform eksperimen sains dan teknologi yang berasingan daripada Internet awam, serta pusat data berprestasi tinggi.

Memberikan peruntukan kelajuan jalur lebar dengan purata lebih dari 1 Mbps bagi setiap pelajar, yang mana akan:

meningkatkan penghasilan dan penggunaan kandungan tempatan (“local content”) oleh universiti

meningkatkan dan memudahkan aliran video berdefinisi tinggi (HD) dalam pengajaran dan pembelajaran

meningkatkan penggunaan teknologi dalam pendidikan; dan

meningkatkan penggunaan teknologi dalam penyelidikan.

Menyediakan rangkaian asas yang boleh menyokong kapasiti sehingga 400 Gbps, di mana kelajuan sehingga 10 Gbps boleh diberikan kepada setiap kampus universiti, politeknik dan kolej komuniti, dan kelajuan sehingga 1 Gbps boleh diberikan kepada institusi-institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan yang lain.

Mempunyai sambungan kabel gentian fiber optik yang khusus bagi tujuan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pentadbiran institusi-institusi pendidikan tinggi.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila klik pada pautan ini atau hubungi kami di info@myrennetwork.com.